Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Cabaran dan Harapan


Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN). Beliau adalah antara individu penting dalam membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan keperluan pendidikan terbaik untuk para pelajar. Bagi mendapatkan pandangan beliau tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang baru dilancarkan, Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.
“Pada pandangan saya, setiap pembaharuan yang dibuat perlu diberikan ruang dan peluang dalam pelaksanaannya. Saya seorang yang terbuka dan sedia memberikan laluan untuk kementerian membuktikan keberkesanannya. Pada dasarnya, kita berhasrat untuk melahirkan murid yang berfikir, mampu berfikir mengenai perkara yang bernilai tinggi dan rajin membaca. Jadi, perubahan yang dilakukan ini merupakan pendekatan yang baik serta memberikan penekanan kepada sistem pendidikan yang menarik dan seronok. Dengan cara ini, murid dapat berkongsi pandangan dan pendapat sama ada pandangan kritikal atau sesuatu yang membina hasil daripada daya fikir mereka sendiri. Hal ini akan memberikan ruang inovasi untuk pembinaan jati diri dalam diri mereka. Saya percaya bahawa kaedah ini berupaya menghasilkan murid yang berfikiran matang dan dapat membuat keputusan semasak- masaknya berdasarkan sumber yang ada. Jika kita imbas semula, sistem pendidikan terdahulu berorientasikan peperiksaan 100 peratus. Mungkin melalui PBS ini, kita memperuntukkan 40 peratus dikhaskan untuk penilaian berterusan dan baki peratusan itu diperuntukkan untuk peperiksaan. Hal ini membolehkan murid belajar dan berfikir secara berterusan. Maka, sudah tentu hal ini merupakan satu perkembangan yang positif. Saya juga berpendapat bahawa perubahan sistem pendidikan ini dapat mengurangkan sikap murid yang cenderung belajar pada saat- saat akhir sebelum peperiksaan. Murid kita akan belajar secara berterusan dan bukan hanya menunggu apabila waktu peperiksaan semakin hampir.”
– Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

No comments:

Post a Comment